Wednesday, February 15, 2012

Tuo!

Saya sudah 2 kali disuruh menjadi jurucakap majlis pertunangan anak-anak saudara. Seingat saya, dulu-dulu biasanya tugas “tok jora” (jurucakap) majlis-majlis penting dalam keluarga diserahkan kepada orang-orang yang dianggap tua dan berpengalaman dalam keluarga. Selain daripada itu, kalau saya pergi membeli di pasar malam atau gerai-gerai, penjual akan kata,

“Nok mende pok?”.

Di Terengganu ni, panggilan “pok” special…..untuk orang-orang tua!.

Semua ini menguatkan bukti-bukti sedia ada yang saya sudah termasuk dalam golongan orang tua. Dulu kita tengok orang lain tua – seluar diangkat sampai paras pinggang, rambut, misai dan janggut dah jadi macam bendera Terengganu (kombinasi putih dan hitam, seimbang atau dah lebih putih daripada hitam) dan sebagainya. Tup! Tup! Kita pula dah jadi begitu. Terasa amat cepat – masa kanak-kanak, remaja, dewasa, 40an…..aku sudah tua!!!!!

Dua tahun lepas, saya ke majlis reunionpelajar sekolah rendah (SK Hamzah Machang Kelantan). Melihat kawan-kawan yang kebanyakannya dah lebih 30 tahun tak jumpa, terdetik dalam hati,

“Emmmm….tuo doh mamat/mek ni!”.

Orang lain pun mungkin berpandangan sama terhadap saya. Rata-ratanya, muka masih boleh cam tapi “frame” dah semacam!.

Tua membawa maksud lama dan kalau dilihat dari perspektif sesebuah perjalanan, sudah nak sampai destinasi. Minggu lepas, saya ke rumah adik melihat persiapan untuk menghantar anaknya ke sekolah Menengah Sains Alam Shah (SMSAS), Kuala Lumpur. Merasakan barangan yang dibawa tak banyak, saya bertanya kepada adik,

“Hai! Kecil je beg ni. Barang-barang cukup semua ke?”.

Jawab adik saya,

“Tak apa lah. Kalu tak cukup, masa balik cuti ke Dungun ni atau keluar bandar ke KL tu, kita beli lah barang-barang yang tak cukup tu”.

Destinasi kehidupan kita yang sebenar iaitu akhirat, tidak sama dengan SMSAS, destinasi anak saudara saya pada minggu lepas. Bekalan ke akhirat mesti dipastikan cukup kerana ianya one-way journey. Tak boleh U-Turn. Bila dah sampai sana, tak boleh “keluar” untuk cari semula bekalan yang tak cukup!.

Persoalan tua yang saya utarakan di sini bertujuan menyentap diri kita yang mungkin sedang terbuai alpa, bahawa kita sedang pantas menghampiri destinasi. Kalau yang muda pun sudah semakin ramai “dipanggil”, apatah lagi kita yang tua ini. Seterusnya, ini membawa kepada persoalan – setakat mana bekalan kita? Apa tindakan kita untuk mencukupkan bekalan?.

No comments:

Post a Comment